Sejarah Kapak Siam

Asal

Menurut seorang guru silat dari Tumpat, Wan Yusmar Wan Yusof, kapak itu pada asalnya digunakan oleh wanita di Pattani, Thailanduntuk membelah buah Pinang, tetapi ia kemudiannya digunakan oleh orang lelaki sebagai senjata pergaduhan kerana ia kecil dan mudah disembunyikan. Di Kelantan sendiri, senjata ini lebih dikenali dengan nama kapak kecil Kelantan, sungguhpun penduduk luar Kelantan memanggilnya dengan nama Kapak Siam.

Ada juga orang yang mengaitkannya sebagai cara untuk mengajar orang yang berkelakuan biadap apabila masuk ke kampung, misalnya mengganggu anak gadis atau mencuri. Kapak Siam ini atau juga digelar kapak bungkus atau kapak terbang kerana merujuk kepada cara kapak itu digunakan semasa menyerang. Mata kapak dibungkus dengan hanya mendedahkan beberapa inci hujung mata untuk mengelak kecederaan parah. Di situlah diukur kadar kebiadapan orang itu. Jika lebih banyak hujung mata yang tidak dibungkus, bermakna lebih besarlah salahnya. Mangsa yang terselamat akan menanggung parut pada bahagian kepala dan kalau orang nampak parut 'peringatan' kena takik kapak di kepala atau dahi itu, orang yang melihat biasanya akan berkata, "Orang itu ada mengacau anak dara orang".

Kapak Siam menjadi pilihan untuk dibawa kerana ia bersifat dwifungsi iaitu ia boleh digunakan untuk melakukan kerja-kerja ringan seperti menakik dan dijadikan senjata untuk menyerang. Ia kurang menarik perhatian orang berbanding keris yang pasti mendatangkan curiga orang jika dibawa.

Kegunaan sebagai senjata menyerang

Pada masa dahulu, Kapak Siam merupakan senjata pilihan samseng di Kelantan, tetapi nama Kapak Siam melonjak menjadi terkenal pada pertengahan 1960-an apabila ia digunakan dalam pembunuhan wakil rakyat PAS Samad Gul Ahmad Mianji berhampiran pasar lama Perbandaran Kota Baharu. [2]

Golongan samseng atau gedebe yang tiada kerja dan mahu mencari gaduh sahaja biasanya menyelit mata kapak kecil yang diikat pada hujung kain semutar untuk digunakan sebagai kapak terbang. Sekiranya ia digunakan sebagai satu peringatan, mata kapak akan dibungkus dengan hanya mendedahkan beberapa inci hujung mata untuk mengelak kecederaan parah. Di situlah diukur kadar kebiadapan orang itu. Jika lebih banyak hujung mata yang tidak dibungkus, bermakna lebih besarlah salahnya. Dengan itu ia digelar kapak bungkus.

Selain itu terdapat juga serangan yang dilakukan dengan mengikat hulu kapak dengan kain atau tali, dengan itu ia dinamakan kapak terbang. Punca kain akan diikat pada pergelangan siku. Kapak akan dibaling dan disentak semula ke dalam genggaman tangan. Serangan ini biasanya dilakukan oleh orang yang memiliki kemahiran tinggi. Sebaliknya pula, sekiranya mereka yang berniat membunuh, mereka menetak di kepala atau dahi hingga kapak itu terlekat di situ.

Terdapat juga sejenis kapak kecil lagi yang dikenali sebagai kapak binjai manis. Kapak binjai manis biasanya memiliki mata yang kelihatan berseni dengan lebih lebar melengkung pada bahagian bawah. Kapak binjai manis lebih sesuai untuk membunuh, kerana matanya yang melengkung sedikit menyebabkan ia sukar ditarik keluar apabila dipacak pada kepala mangsa. Serangan kapak siam juga boleh menyebabkan seseorang menjadi gila sama ada akibat hentakan di kepala atau ditusuk hulu kapak yang diperbuat daripada pokok nibung. Penduduk tempatan percaya bahawa getah nibung yang bercampur darah akan lebih berbisa. Ia boleh menyebabkan keracunan atau sawan. Bagaimanapun bisa nibung itu boleh dikurangkan dengan minum air kelapa atau menyapu luka dengan air perahan limau nipis.

Pada masa kini, dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat, kapak siam tidak lagi digunakan untuk berkelahi secara meluas, tetapi lebih popular sebagai barang perhiasan.